Bagi sesetengah orang, 'qurban' itu terjemahannya lebih menjurus kepada sembelihan haiwan ternakan berkaki empat yang mengikut syarak dalam ertikata Eid al-Adha. Bagi aku, definasinya lebih mendalam.
Biasalah, orang kampung...bagi yang susah macam kami sekeluarga, asal ada peluang menambah pendapatan, rezeki takkan ditolak.
Aku ingat lagi sekitar tahun 90an. Waktu tu aku masih di asrama. Cuti raya haji, pasti ambil peluang cuti di kampung. Asalnya sudah merancang beraya dengan kawan-kawan.
Pagi raya, arwah abah bagi aku kejutan. Ini bukan 'surprise!' macam Eric Leong biasa buat dalam rancangan Casa Impian. Ini betul-betul haru punya kejadian.
"Jom, hari ni teman abah meniaga tembikai!" ajakan Abah buat rancangan cuti sakan aku kecundang di tengah jalan.
"Hari ni?" aku menyoal abah kembali seolah-olah budak yang tidak paham Bahasa Melayu.
Abah mengangguk perlahan, sedikit senyum terukir dibibirnya. Aku selalu aje kalah dengan senyuman abah itu. Mana ada anak yang mahu dibilang derhaka. Pagi itu, walaupun akur tapi perasaan kecewa sukar dibendung. Sedikit sebanyak tergambar jua di muka, walau cuba disorok. Abah faham.
Manakan tidak, orang lain sibuk-sibuk tengok orang kampung sembelih korban, kami duduk di kedai tepi jalan jual tembikai.
Tugas aku cuma jaga duit, sambil bersih-bersihkan tembikai yang berserakan. Dari pagi sampai petang, aku temankan abah meniaga. Ada juga kawan-kawan yang datang lalu-lalang. Aku buat-buat tak nampak sajalah.
Menjelang senja, tugas hampir selesai. Abah ajak aku kira duit hasil jualan dalam tupperware. Aku tolong abah kira. Tidak lama kemudian mata aku terbeliak. "Wah, banyaknya!" terpacul perkataan dari mulut. Abah cuma senyum.
"Hah, duit ni nanti bolehlah buat bayar yuran sekolah kamu..." ujar Abah ringkas.
Aku pandang abah. Kelihatan peluh menitik dari dahinya yang berkedut. Jelas, abah kepenatan. Makin direnung makin sayu dibuatnya.
Diam-diam aku mula belajar sesuatu. Tiada jalan mudah untuk hidup senang.
Abah banyak berkorban untuk aku. Tapi aku? Ternyata pengorbanan kerdil aku di Hari Raya itu, memang satu pengorbanan yang tak dapat aku lupakan sampai bila-bila.
Ia satu pengorbanan untuk memahami apa erti sebenar PENGORBANAN.
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1431H.
ALFATIHAH BUAT ALLAHYARHAM KAMDIN BIN KASRI, AYAHANDAKU TERCINTA.