Saturday, December 25, 2010

BERKECAMUK!

Di mana ku cari DAMAI...

Masjid Wilayah, Jln. Duta
4.45 ptg

Di sini ku temu CINTA.


Tuesday, December 21, 2010

Hujan

"Deeja nampak bintang!"

Satu petang, aku sedang leka bermain-main dengan Khadeeja (2 1/2 tahun), sekejap-sekejap dia menyanyi "sumba gelek-gelek, sumba gelek-gelek...harum bau wek....", berkali-kali diulang, memang lancar! Aku pun terjebak sama.


Tiba-tiba mulutnya yang petah membebel tu menuturkan bait-bait kata yang membuatkan aku kehairanan sekejap.


"Laaaa....dah hujan..." ujarnya seolah-olah kecewa, kerana petang itu kami sudah merancang mandi kolam. Pelampung pun dah siap ditiup sampai kembung.


Aku terus pandang ke luar tingkap. "Mana ada hujan...?" aku menjawab sambil tangan menunjuk ke luar yang nampak masih cerah cuma langit sedikit berbalam. Dia masih leka menyanyi 'sumba gelek-gelek'nya...sambil tangan kecilnya menampar-nampar pipi aku yang tembam.


"Sumba gelek-gelek, sumba gelek-gelek...lalalalalaa" [nyanyi lagik T_T]


Entah macam mana, mata aku kebetulan menangkap siaran ASTRO di TV yang terganggu.


Beberapa saat kemudian, langit mula gelap pekat, dan...hujan pun turuuuun.


"Oooo....."


Mungkinkah Deeja sendiri pun dah 'masak' ngan perangai ASTRO? Atau memang dilahirkan genius?? Hoho.

*atau, mungkinkah sebab ketika umurnya setahun lebih, dengan rambut menutup muka, wajahnya mirip Noh HUJAN?



"Pagi yang gelap kini sudah terang, aku adikmu dan engkau kakaaak [Aqila]..."

Thursday, December 16, 2010

Tua-Tua Miang

AKU YANG SEMAKIN MUDO...HOHO


Semalam hari jadik colleague aku, nama pun dekat sama, muka pun lebih kuang. Nasib baik dia boroi sikit. [HAHA!]


Sebagai kawan yang prihatin, aku memberi ucapan "Selamat menyambut Hari Tua, Bapaakkk!!".


Ikut teori dia tua setaun lebih dari aku. Tapi yang tak best, bila ikut logik...


P: Dah, tak yah nak 'menTUAkan' aku...bulan 3 taun depan, umur kita sama aje...
A: Arghhh...birthday gua.... Cheit....!! [sape kata dunia ni bulat??]

Thursday, December 9, 2010

Lansing-Lansing Dalam Hujan

Joget kening lagi baeek...yihaaa

Kat akhbar kecoh, lagi pasangan Sehati Berdangdut bercerai...


Nak heran apa? 
Tergedik-gedik atas pentas. Sepatutnya suami menjaga aurat dan ketertiban isteri yang dipimpin. Bukannya menggalakkan isteri sama-sama menari meliuk-lintuk sambil aurat dijamah mata si bukan mahram.


Kalau itulah qiblatnya...maka, takdelah hairan pun berlakunya perceraian.


Lainlah kalau pasangan Sehati Beribadah...

Thursday, December 2, 2010

Pe'el Perompak Zaman Sekarang



Baru-baru ni, rumah aku dipecah masuk perompak. 
Habis rabak mangga Solex aku!
Yang hilang adalah...


Sepasang selipar jamban Crocs...versi 'pasar lambak'.


Sekian.




Moral: Garilah selipar Crocs anda, meskipun di dalam rumah.

Thursday, November 18, 2010

QORBAN TEMBIKAI




Bagi sesetengah orang, 'qurban' itu terjemahannya lebih menjurus kepada sembelihan haiwan ternakan berkaki empat yang mengikut syarak dalam ertikata Eid al-Adha. Bagi aku, definasinya lebih mendalam.

Biasalah, orang kampung...bagi yang susah macam kami sekeluarga, asal ada peluang menambah pendapatan, rezeki takkan ditolak.

Aku ingat lagi sekitar tahun 90an. Waktu tu aku masih di asrama. Cuti raya haji, pasti ambil peluang cuti di kampung. Asalnya sudah merancang beraya dengan kawan-kawan. 

Pagi raya, arwah abah bagi aku kejutan. Ini bukan 'surprise!' macam Eric Leong biasa buat dalam rancangan Casa Impian. Ini betul-betul haru punya kejadian.

"Jom, hari ni teman abah meniaga tembikai!" ajakan Abah buat rancangan cuti sakan aku kecundang di tengah jalan. 

"Hari ni?" aku menyoal abah kembali seolah-olah budak yang tidak paham Bahasa Melayu. 

Abah mengangguk perlahan, sedikit senyum terukir dibibirnya. Aku selalu aje kalah dengan senyuman abah itu. Mana ada anak yang mahu dibilang derhaka. Pagi itu, walaupun akur tapi perasaan kecewa sukar dibendung. Sedikit sebanyak tergambar jua di muka, walau cuba disorok.  Abah faham.

Manakan tidak, orang lain sibuk-sibuk tengok orang kampung sembelih korban, kami duduk di kedai tepi jalan jual tembikai.

Tugas aku cuma jaga duit, sambil bersih-bersihkan tembikai yang berserakan. Dari pagi sampai petang, aku temankan abah meniaga. Ada juga kawan-kawan yang datang lalu-lalang. Aku buat-buat tak nampak sajalah. 

Menjelang senja, tugas hampir selesai. Abah ajak aku kira duit hasil jualan dalam tupperware. Aku tolong abah kira. Tidak lama kemudian mata aku terbeliak. "Wah, banyaknya!" terpacul perkataan dari mulut. Abah cuma senyum.

"Hah, duit ni nanti bolehlah buat bayar yuran sekolah kamu..." ujar Abah ringkas.

Aku pandang abah. Kelihatan peluh menitik dari dahinya yang berkedut. Jelas, abah kepenatan. Makin direnung makin sayu dibuatnya.

Diam-diam aku mula belajar sesuatu. Tiada jalan mudah untuk hidup senang.

Abah banyak berkorban untuk aku. Tapi aku? Ternyata pengorbanan kerdil aku di Hari Raya itu, memang satu pengorbanan yang tak dapat aku lupakan sampai bila-bila.

Ia satu pengorbanan untuk memahami apa erti sebenar PENGORBANAN. 

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1431H.

ALFATIHAH BUAT ALLAHYARHAM KAMDIN BIN KASRI, AYAHANDAKU TERCINTA.

Thursday, November 4, 2010

Pau Yang Bukan Sejenis Kuih




Sepuluh tahun menetap di KualalalaLumpur buat aku jumpa macam-macam ragam lahanat manusia.


Pau? [Bukan roti putih kukus inti kacang merah tu]. Dah banyak kali sangat aku jumpa. Yang menariknya, aku boleh klasifikasikan jenis-jenis teknik @ pendekatan yang digunakan 'kaki pau' kepada beberapa kategori:


1) Pau Berhemah


Kaedah pau mengggunakan taktik kelentong yang hebat. Jika digilap bakat, boleh jadi penulis skrip berbakat besar dan berpeluang menang Anugerah Skrin. Antara dialognya:


"Tolong dik, saya askar, datang dari jauh ni. Naik keretapi dengan isteri. Kemudian isteri saya terberanak dalam tren. Diorang dah hantar isteri saya pergi hospital. Saya takde duit nak bayar bil. Boleh bagi sikit duit tak? Kalau tak percaya, dalam beg ni ada lagi 'uri' baby, belum sempat tanam."


2) Pau Kurang Ajor


Yang ni jenis terjah. Tak kira apa budi bahasa sekalipun, asal dapat duit sudaaaah. Dialog contoh:


"Hoi budak, ko ada duit tak? Bagi aku sepuluh ringgit!"
"Tak nak bagi boleh tak?"
"Kalau ko taknak bagi, aku rodok dengan pisau nih. Jaga-jaga Cik Salmah!" [meniru stail Sarip Dol]


3) Pau Balikan Psikologi [Reverse Psyco]


Teknik paling berbahaya, lebih ampuh dari 'sommersault berpusing'. Jenis kaki pau paling bijak antara semua kaki-kaki yang ada. Mungkin disebabkan pengalaman bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia penge'pau'an. Contoh dialog:


"Korang ni belajar lagi ke?" [bual ramah]
"Ya pakcik."
"Baguslah, belajar rerajin ye, dah senang esok boleh tolong mak abah."
"InsyaAllah pakcik."
"Baguuus. Err...korang ada duit tak? Bagi pakcik sorang 5 ringgit..."
"........" [terdiam & terpana]
.
.
.
"Apa....korang ingat aku takde duit ke? Tengok nih [sambil keluarkan duuit kertas dari dalam poket]. Ko ingat aku nak sangat duit ko!!" [volume kuat kedengaran satu Puduraya]
"........" [malu, terdiam terus tak gerak-gerak]




Moral: 
Henti-hentikanlah menyusahkan hidup orang. Carilah kerja yang berfaedah. Tanam kangkung ke, ternak keli ke. Jual kuih pau pun okeh!


P/S: Ya, aku tau blog ni dah bersawang. Hoho.

Wednesday, October 27, 2010

Suratan [atau] Kebetulan



Sejak akhir-akhir ni sibuk betul berulang-alik ke rumah baru. Ubah-suai, tebas rumput, cuci. Seharian dekat sana. Sebab kawasan baru, jadi bila nak solat mula gelabah. Yang bagusnya, adalah modal sembang nak kenal-kenal jiran baru...hehe. [pandai tak?]


A: Arah qiblat belah mana kak?
B: Ooo, senang aje. Tu [dengan jari telunjuk], ikut arah 'satellite dish' ASTRO tu!
A: [Diam]..... "Oooooo...." [sepuluh-harkat panjang]


Kebetulan? Wallahua'lam.


*Sahih atau tak, tak berani lah jamin, tapi lepas tanya ramai orang KEBANYAKANNYA dapat jawapan yang serupa.

Monday, October 18, 2010

Apa Guna Mercu Tanda Tinggi



R dan L berlari-lari anak menuju ke kereta. Hari sudah gelap. Maghrib sudah tiba di pertengahan. Suasana begitu pekat hitamnya, likat. Tiba-tiba...


P: "Hoi, mari sini!"


Kedengaran satu suara memanggil kasar. Seorang lelaki usia awal 20-an dan temannya memanggil dari dalam kereta. Langkah terhenti...


P: "Mintak IC!"


Pintanya kasar.


R & L: [TERPANA! Mengeluarkan IC dan menyerahkan].


P: "Apasal lari?" [sambil mengambil IC dan mencatat butiran 'penjenayah']


L: "Lari? Bila masa pulak kami lari?"


P: "Tadi. Nampak kami terus lari..."


R: "Bila masa pulak encik? Encik lalu sini pun kami tak perasan. Dah lah gelap! Kami bergegas sebab nak kejar Maghrib. [Tak pernah pulak dengar undang-undang yang tak kasi orang berlari!] Nak solat! [Encik uzur ke??]. Ada apa ni?"


P: "Takde, prosedur biasa. Buat apa kat sini?"


R: "Ziarah kawan. Ni kan Taman Perumahan."


P: [Menyerahkan kembali IC]


L: "Ada muka penjenayah ke kita?" 


P: [Tanpa MAAF atau TERIMA KASIH & terus berlalu]


R&L: "BIADAP!" [Serentak]




Kejadian ni berlaku dah dua (2) hari tapi aku masih terkesima dan terkejut sampailah ke hari ini.  


Kalau 'barisan hadapan' sendiri tak tunjukkan contoh yang bagus, apa jadik dengan barisan belakang. Kalau aku jadi pelancong pun aku bagi rating 'ibu jari' ke bawah. Bila badan antarabangsa melabelkan kita biadap, waktu tu baru lah sibuk kerajaan & media buat slot semata-mata nak menolak dakwaan yang dikatakan tak berasas kononnya.


SEWAJARNYA! 
Bajet membangunkan bangunan 100 tingkat untuk menaikkan imej Malaysia di mata dunia tu lebih wajar disalurkan kepada usaha untuk membangunkan sahsiah rakyat yang jelas semakin merudum akhlak, moral dan agamanya.


Wallahua'lam

Saturday, October 16, 2010

Lagenda Si Setan & Sebungkus Karipap

Poster cun ihsan naniology

Harun melihat sosok tubuh abah & ibunya hilang di dalam perut teksi yang dinaiki yang kemudian perlahan-lahan berlalu pergi meninggalkan asap yang berkepul-kepul dari corong ekzos yang hitam berkerak.


Bercampur baur perasaannya. Ada suka. Suka sebab dapat menginjakkan kaki ke sebuah sekolah berasrama. Ada sedih. Sedih meninggalkan keluarga. Ada juga rasa gentar. Manakan tidak, seringkali dimomokkan dengan kejadian buli di asrama buat kecut perutnya menjadi-jadi. Di sebalik semua itu, terselit perasaan bangga. Bangga kerana berjaya membuat abah dan ibunya tersenyum. Bangga kerana berjaya membuatkan mereka bangga.


"Belajar rajin-rajin ye, nak." nasihat ibu seakan bergaung-gaung dalam kotak fikirannya. Senyuman abah silih berganti. Pasti menjadi pengubat sepi.


"Aku kena kuat!" dia berazam menguatkan tekad.


Sayup-sayup kedengaran bunyi laungan suara menggunakan pembesar suara mengarahkan pelajar-pelajar baru berkumpul di Dewan Harun Al-Rasyid. Dewan besar sekolah yang gah. Segah namanya. Nama seorang Khalifah yang agung. Laungan suara semakin kuat. Harun bingkas bangun. Menyarungkan kasut Pallas Jazz berwarna hitam. Kasut rasmi yang menjadi kemestian sepertimana yang tertera dalam lampiran surat tawaran kemasukan.


Minggu Ta'aruf bermula. Minggu suai-kenal yang menjadi igauan segelintir pelajar. Jadual yang ketat, disiplin yang juga sama ketat. Lebih ketat dari ikatan kasut Pallas Jazz hitamnya. Paling gerun, wajah-wajah senior yang garang dan bersuara lantang. Hari-hari herdik dan pekik menjadi rutin dan makanan 'ruji' pelajar. Ada juga yang tidak tahan, lantas mengemas barang lalu pulang. Bendera putih sudah berkibar sebelum berjuang.


Harun masih lagi kental, baginya semua itu hanya halangan yang 'secubit'. Dormitori yang didudukinya menempatkan dirinya berserta 3 orang lagi pelajar baru lain, dan sepuluh orang senior berlainan tingkatan. Kesukaran dan gigitan 'emosi' merapatkan hubungan sesama rakan. Yang renggang, jadi rapat akhirnya. Harun mengikut petua orang tua-tua, "masuk kandang kambing mengembek..."


Akhirnya, mimpi ngerinya bermula. Adegan buli memang tak mungkin dielak. Dia turutkan saja. Bagi sesetengah orang, menjadi 'pak turut' umpama tindakan bacul. Baginya, semua yang berlaku pasti ada hikmah. Dia yakin, kata-kata "sabar itu separuh daripada iman" bukan sekadar sesuatu yang direka-reka. Tuhan pasti ada rancangan tersendiri untuk hamba-Nya. Dia pasrah.


Saban hari dia dan rakan-rakan terpaksa mencuci baju-baju kotor senior. Mengambilkan makanan dari dewan makan dan dibawa pulang ke dorm. Tapi dia tidak pernah mengeluh. Tumbuk terajang bukan sesuatu yang asing di dorm Harun dan rakan-rakan. Siapa yang tidak mengikut, buruk padahnya.


Ada seorang senior di dormnya yang menjadi mimpi ngeri Harun dan rakan-rakan. Megat. Siapa yang tak kenal. Nama yang menjadi igauan Harun dan rakan-rakan. Bukan hanya mereka, malah guru-guru juga menjadi mangsa penangan Megat jika silap langkah. Pernah seorang Ustazah hampir ditumbuk gara-gara menegurnya di kelas. Kalau dalam filem Azura, dia dan geng-gengnya umpama geng Gagak Hitam. Entah berapa ramai rakan-rakan Harun yang menerima nasib buruk kerana ingkar. Pernah seorang rakannya terperosok masuk ke dalam almari kerana enggan menyeterikakan uniform sekolahnya. Harun melihat kejadian tanpa berkelip mata.


Megat umpama watak Kasyah dalam 'Lagenda Budak Setan'; novel setebal Kamus Dewan nukilan Ahadiat Akashah. Bukan pada romantiknya, tapi keSETANannya.

Megat tua 3 tahun daripada Harun. Meskipun baru tingkatan 4, 'populariti' kedajalan Megat mengatasi senior-senior mereka di tingkatan 5. Tiada siapa yang berani mencabar kejantanan tak bertempat si Megat. Silap cabar, nahas!

Mimpi ngeri itu berlanjutan berbulan-bulan lamanya. Walau dibuli saban hari, kesabarannya masih teguh. Hari-harinya dipenuhi dengan doa dan pasrah, semoga 'badai akan berlalu'.


Pada suatu hari, sekolah menganjurkan Hari Terbuka. Ibu-bapa dijemput datang menziarah anak-anak masing-masing sambil menerima laporan kemajuan akademik. Mengikut tradisi, bila ada hari keramaian begini, pasti ada tapak bazaar yang menjual pelbagai jenis makanan. Memang suasana yang menyeronokkan!


Harun menemui abah dan ibunya setelah sekian lama tidak berjumpa. Sejak mendaftar masuk ke sekolah tersebut, hanya 2 atau 3 kali dia pulang ke kampung. Apa boleh buat, keluarga Harun bukan keluarga berada. Bila ada duit lebih, dia balik, bila duit 'jajan' hanya cukup-cukup makan, dia duduk saja di asrama. Mengulangkaji bersama-sama kawan-kawan yang senasib.


Keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya tidaklah terlalu cemerlang namun, masih dalam kedudukan 10 terbaik. Masih lagi boleh dibanggakan. Cumanya, bila sudah masuk ke sekolah yang rata-rata pelajarnya bijak pandai, pasti banyak persaingan. Abah dan ibu faham. Dia juga faham. "Usaha lagi..!" dia memujuk hati sendiri.


Ibu membeli sebungkus karipap lalu diberikan kepada Harun. "Nah, ambil ni. Kongsi dengan kawan-kawan sebilik." Diambilnya bungkusan itu lalu dibawa ke dormitori. Sesampainya di bilik, tiada sesiapa di sana. Bilik yang sarat dengan 7 katil dua tingkat dan 14 buah almari itu dirasakan sunyi. Pastinya masing-masing sedang sibuk berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing. Sambil matanya meliar ke sana ke mari, di satu sudut dia terlihat kelibat sosok seniornya Megat, sedang asyik mendengar lagu dengan 'headphone' terlekat kemas di lubang telinga. Satu kes 'jenayah' dilakukan di siang bolong; menyeludup masuk 'walkman' ke dalam kawasan sekolah. Asap berkepul-kepul juga kelihatan dari puntung rokok dijari. Kes jenayah kedua yang dilakukan Megat. Kehadiran Harun mula disedari, namun sedikit pun tidak diambil pusing.


Hairan juga Harun. Dia terfikir sendiri, entah kenapa agaknyanya Megat tidak bersama-sama keluarganya. Tiada yang datang menziarah kah? Dia tidak mahu menjaga tepi kain orang. Mengenangkan 'amanah' ibunya, dia bergegas masuk 'menghadap' baginda Megat. Bungkusan karipap dihulurkan.


"Bang, ni mak saya kasi. Makanlah." Harun meletakkan bungkusan kuih tersebut lalu beredar. Selang beberapa tapak, Megat berpaling lalu memanggilnya perlahan. "Budak, sini kejap!" Harun menurut. Bimbang pipinya dihinggap penampar.

"Err...ya bang?" Harun terketar-ketar 'menghadap' baginda Megat.

"Terima kasih." ucap Megat pendek, namun bermakna. Harun sedikit tergamam. Pertama kali dia mendengar ucapan sopan dari kotak suara seorang ketua penyangak seperti Megat.


 "Sama-sama, bang." Harun menjawab ringkas sambil mengukir senyum. Megat juga sama-sama senyum.

Senyap. Terasa janggal, Harun cuba memulakan perbualan.


"Abang Megat tak jumpa keluarga ke?" tanya Harun.


"Tak." Ringkas jawapan Megat.


"Kenapa?" Soal Harun lagi, seolah-olah seorang budak yang tidak makan saman.

Diam."Abah aku dah meninggal. Mak aku dah uzur kat kampung. Adik beradik aku yang lain semua dah tak ambil kisah pada aku lagi." jawapan yang panjang, namun cukup untuk buat Harun memahami keadaan seorang manusia bernama Megat. Segala-galanya mula jelas.


"Maaf, bang." Harun meminta maaf kerana merasa dirinya bersalah.


"Tak apa. Kau orang pertama yang bertanya." jawab Megat. "Terima kasih." sambung Megat lagi.


Harun tersenyum, lalu meminta diri. Sebelum berlalu, Megat sempat memberi 'titah' yang cukup bermakna.

"Budak, mulai hari ni, aku dah tak buli kau lagi dah. Kalau ada orang kacau ke, nak buli kau ke, kau cakap aje nama aku. OK!"

Harun sedikit terpana, kemudian terukir senyuman sampai ke telinga. Hari itu dia sudah berjaya memperoleh satu 'polisi insuran' percuma paling berharga.

Semuanya gara-gara sebungkus karipap pemberian ibunya. Ternyata janji Tuhan itu pasti. Kesabaran itu besar rahmatnya. Bagi mereka yang yakin pada kuasa-Nya dan percaya. Siapa sangka sebungkus karipap itu juga telah mengajarnya supaya jangan menilai seseorang dari rupanya.

"Terima kasih, Allah...Kau Maha Kuasa atas segala-galanya yang di langit dan di bumi dan segenap alam semesta."

Senyum terukir lagi.





Wednesday, October 13, 2010

Bukan Lupa Daratan



Siapa tak mahu hidup senang. Hidup berlimpahan wang ringgit, bebas hutang keliling pinggang. Minta apa sahaja, tak perlu susah-susah kumpul wang. Barangan berjenama, makanan mewah yang lazat-lazat...ahh, petik jari saja. Semudah itu! 


Seringkali juga buat kita terfikir, "Alangkah beruntungnya lahir dalam keluarga yang kaya-raya!" Semua yang dimahukan dengan mudah berada di depan mata. 


Tengok kita ni! Dasar miskin hina, nak belajar pun kena minta ihsan kerajaan. Sudahlah pinjaman, ada pula bunga dan riba' diselang-selikan. Entah macam-mana kita di akhirat karang? Bertopengkan frasa, "Pinjaman Pendidikan." Sedap bunyinya. Tapi, 'sedap' ada makna. Nak lunaskan mahunya tujuh keturunan. Bila bersembang dengan orang kampung, harap simpati dan mengeluh panjang, jawapannya pula lagi menyakitkan.


"Inilah korang, tak pandai nak berterima kasih dengan kerajaan. Dah bagi kemudahan pinjaman, lepas tu tak mahu bayar. Kerajaan juga yang terpaksa tanggung. Dah susah anak aku nak buat pinjaman! Menyusahkan!"


Mahu saja melempar selipar ke muka si pemilik mulut yang berkata-kata, lalu menghamburkan sebegini...


"Kau fikir semua graduan tu bergaji enam-sepuluh ribu?"
"Kau fikir semua graduan itu Jurutera, Ahli Perniagaan berjaya atau Wakil Rakyat? Ada juga yang Ahli Muzik, Pelukis dan Penulis picisan..."


Gaji cukup makan... Tapi nak buat macam mana. Berani buat, berani tanggung. 


Asalnya mahu mohon biasiswa kerajaan, tapi belum sempat mengisi borang sudah diingatkan.


"Kursus pilihan saudara bukan bidang kritikal. Jadi, TIADA peruntukan...."


Apa pilihan lain yang ada? Terpaksalah berhutang. Malangnya kita-kita yang senasib...


Akhirnya, bayar jugalah...walau sebulan 50 ringgit. 
.
.
.
Err, tapi 'bunga' dia aje 68 ringgit!!! 

Thursday, October 7, 2010

Kaca Mata Bingkai Tebal



Benar kata orang, "rezeki, jodoh, ajal dan pertemuan" semuanya urusan Tuhan. Kadang-kadang, dalam keadaan yang tidak pernah kita jangkakan, ia datang bawa kejutan.


Semalam hari pertama aku berkaca mata. Ada juga la mata yang memandang...ececeh [maaf kalau bernada agak poyo..huhu]. Awek; kecik, besar, mak budak...jantan pun ada. Biasanya muka yang 'familiar'. Aku memang tak boleh kalau orang pandang lama sikit. Unsur gagap dan gabra akan menyerap masuk ke dalam otak, pembuluh darah dan seterusnya ke jantung secara drastik! Contohnya, di kedai serbaneka Tujuh-Sebelas [baca:7E] semalam. Mungkin dah biasa nampak muka 'gondol' aku, tiba-tiba datang bermata-empat buat gadis kaunter bayaran tiba-tiba bersoal-jawab.


"Sorang je bang?" Tanya gadis kaunter bayaran sopan sambil tersenyum manis.
"Ha'ah, ini je yang tinggal...." entah setan mana yang merasuk hingga aku tidak menjawab soalan mengikut skema pemarkahan. 
"............" gadis kaunter bayaran terdiam, mungkin terfikir samada dia yang silap tanya, atau aku yang memang dungu menjawab.


Aku berlalu dari Tujuh-Sebelas dengan sebungkus Frutube perasa 'blackcurrant' untuk dikunyah di waktu senggang, bersama perasaan berbaur malu dan terasa 'tidak cerdik'. "Bulan depan la baru datang lagi kedai Tujuh-Sebelas...mungkin waktu tu dia dah tak ingat..." aku bercadang melakukan sedemikian memandangkan sudah malu tahap gaban.


Apa kaitan dengan rezeki? Sebenarnya kalau diikutkan, bulan ni memang aku agak 'kekeringan'. Almaklum, Syawal pun baru saja nak melabuhkan layar malam. "Road Tax" Satria aku pun menemui ajal bulan ni jugak. Makanya kering kontanglah akaun di bank, mahupun di bawah bantal. Nasib  baik dapat 'escape' dari bagi duit raya kat bebudak SOLTURA...eheh.


Terpaksa pula berkaca mata. Duit lagi! Aku melangkah masuk ke kedai Titik Tumpuan [baca: Focus Point] dengan langkah yang serba salah. Bimbangkan 'mampu atau tidak'. 


"Takpelah, tengok aje dulu. Kalau mampu, beli! Kalau tak, tunda lain kali..." aku memujuk hati sendiri.


Malangnya, 'sangkut' pula dengan satu bingkai kaca mata pesen Afghan nih. 


"Yang ni harga ok bang. Kita ada 'promotion', sekali dengan cermin RMxxx.xx." lancar selesa gadis jurujual itu mempromosikan produk.


"Orait gak tuh..." jawab aku spontan, sambil senyum kelat [senyuman gaya takde duit].


Entah macam mana, dari hal cermin mata perbualan antara aku dan gadis tersebut melalut hingga ke hal-hal peribadi. Kebetulan tak ramai pelanggan. Dia berserta dua orang lagi rakan mula sembang panjang dengan aku. Aku layankan saja. [Pemalu konon!]


"Wah, jadi abang ni 'terer' cakap 'omputih' la ye?" tanya gadis tadi setelah mendapat tahu kelulusan akademik aku dari perbualan yang melalut jauh tadi.


"Bolehlah sikit-sikit..." kataku jujur. Realitinya begitu. Sememangnya, tidaklah begitu mahir.


"Camni bolehlah ajar kami 'speaking'!" jawabnya pantas. 


"Errrrk..." [tergamam sekejap]


"Diorang ni kalau cakap Melayu dengan pelanggan ok, tapi kalau Bahasa Inggeris...haraaaaam..." sampuk majikan mereka yang datang entah dari mana. Mungkin dari tadi lagi menumpang dengar perbualan kami.


"Kebetulan, saya memang nak cari guru bahasa untuk mengajar diorang ni, encik berminat?" pelawa majikan tadi bersungguh-sungguh.


"Iye ke? InsyaAllah, nanti saya fikirkan..." aku tidak boleh memberi jawapan sebab tawaran datang secara tiba-tiba. Melangkah keluar dari kedai dengan senyuman berserta resit bayaran deposit kaca mata, aku semakin yakin dan percaya janji Tuhan itu pasti.


Macam orang-orang tua selalu kata...


...REZEKI ADA DI MANA-MANA.

Tuesday, October 5, 2010

Suparjo

Bukan Suparjo yang dimaksudkan

Wak: Zal, tengok pendrive aku nih!
Aku: Nape Wak?
Wak: Dah bersih, takde Virus dah....'suci', murni...huhu [ngan muka happy tak bleh blah!]
Aku: Aik...bukan ke sume antivirus opis dah expired...belum renew...
Wak: Guna apa lagi... FAB! Bini aku cuci kemarin...ngan seluar aku nih skali....ampeh... T_T
.
.
.
.
Cisssss....terkono den!




*Wak Suparjo adalah seorang Pak Lawak di opis aku. Mane Skuad Raja Lawak yang suka culik-culik orang cam dalam TV tuh?!! Takde plak terjah opis aku. 
[Sambil menghalakan meriam Bukit Melawati ke arah Wak Suparjo]

Monday, October 4, 2010

Tunjukkan Jalan Yang Benar


Hari tu, bekas rakan sekerjaku mengajak makan. Seorang wanita muda. orang mahu belanja, aku ikut saja. Kami memilih meja di sebuah restoren dan duduk bersebelahan. Tiba-tiba, aku terasa kaki kanan ku di gesel-gesel. "Arghhhh, ni tak boleh jadi." Walau marah, entah kenapa, aku biarkan saja. Kadang-kadang bila nafsu mengatasi akal, yang batil pun boleh jadi haqq. Kejadian berlaku dengan pantas. 


Esoknya, rezeki datang lagi. Majikan aku ajak makan tengah hari bersama. Kali ni tiada adegan gesel-gesel. Maaf jika kalian kecewa! Lagi pun dia lelaki. Tak payah nak kecewa-kecewa. Acara makan berlangsung dengan lancar. Sangat menyelerakan. Di akhir sesi, dia diam sebentar, lalu menuturkan kata...


"Zal...aku rasa, umur aku tak panjang. Apa yang boleh aku katakan, aku terlalu mempercayai kau. Aku ada saudara mara & keluarga tapi semuanya aku tak boleh percaya. Jadi, aku sudah menamakan kau sebagai pewaris bagi harta-harta aku..."


Aku tak terkata apa. Melopong! 


"Err...seperkara lagi... Hujung tahun ni, aku bagi kau BONUS 2 bulan..."


Makin melopong. Dalam fikiran dah terbayang bawak seguni duit ke PTPTN kasi setel hutang & bunga. Indahnya...
.
.
.
.
.
Stress betollah! Kalau benda syok camni, mesti mimpi...balik-balik mimpi! 
[Err...aku maksudkan yang no.2. Harap maklum.]


Kata orang mimpi ni mainan setan. Mana setan yang bertanggungjawab? Aku nak sekeh kepala dia. Takde keje lain ke??

Wednesday, September 29, 2010

Tak perlu kata apa...SENYUM







Pengalaman bawa anak-anak buah beraya...


Aqila: Pak Usu, kenapa budak tu marah kita? 
Aku: Takdelah, dia bukan marah. Tak pandai cakap, jadi cuma boleh jerit. Dia 'sakit'. 
Aliya: Dia sakit apa?
Aku: Err...dia tak sihat. Dia OKU.
Aqila: OKU tu apa?
Aku: Orang Kurang Upaya... [adoyaii...camne nak explain nih?]
Aqila & Aliya: ??? [masih tak faham]
Hariri: Dia ISTIMEWA lah...
.
.
.
Aku: [senyum] :)

Thursday, September 23, 2010

A.K.U (Aku Kurang Upaya)



3 tahun bergelumang dengan lambakan draf iklan buat daya penglihatan makin kurang. Bercadang memakai kaca mata gaya Afghan, sebab kanta lekap buat aku lemas 'tenggelam'.


Asalnya tidak mahu mengaku rabun...hinggalah pada satu hari yang indah permai...


"Zal, tu SUDU...bukan straaaw!!" laung Samad tatkala melihat aku menyuakan mulut untuk menyedut air dari gelas minuman.
.
.
.
.
Aku pasrah.
[Tunduk bawah sambil kaki kanan kuis-kuis tanah]

Tuesday, September 21, 2010

Apa barang Raya......





Sesi perbualan santai berbaur kejam tetapi relevan di satu petang Ramadhan ...


Siput: Perghhh...pejam celik, pejam celik dah nak raye... 
Tapir: Aku bila cakap pasal raya kompem ingat 'bara'an' [marhaban]...
Siput: Huhu...betol beb, tak satu kampung terjah umah tak sah!
Ayam: Kalu cite pasal raye, apo laie....kalu tak ketupat ngan rendang siram kuah lodeh....


[bunyik perut berkeroncong...]


Siput: Hoi, puasa woi...agak-agak la...!
Semua: Haha....


Tuntung: Aku kalu raye, paling aku ingat......pagi-pagi raye mesti TV tayang....
.
.
.
.
.
SARKIS!!!


Semua: [Diam. Lalu angguk tanda setuju.]




Nota Kaki: Sampai skang tak paham ape relevannya SARKIS ngan Raya...