Harun melihat sosok tubuh abah & ibunya hilang di dalam perut teksi yang dinaiki yang kemudian perlahan-lahan berlalu pergi meninggalkan asap yang berkepul-kepul dari corong ekzos yang hitam berkerak.
Bercampur baur perasaannya. Ada suka. Suka sebab dapat menginjakkan kaki ke sebuah sekolah berasrama. Ada sedih. Sedih meninggalkan keluarga. Ada juga rasa gentar. Manakan tidak, seringkali dimomokkan dengan kejadian buli di asrama buat kecut perutnya menjadi-jadi. Di sebalik semua itu, terselit perasaan bangga. Bangga kerana berjaya membuat abah dan ibunya tersenyum. Bangga kerana berjaya membuatkan mereka bangga.
"Belajar rajin-rajin ye, nak." nasihat ibu seakan bergaung-gaung dalam kotak fikirannya. Senyuman abah silih berganti. Pasti menjadi pengubat sepi.
"Aku kena kuat!" dia berazam menguatkan tekad.
Sayup-sayup kedengaran bunyi laungan suara menggunakan pembesar suara mengarahkan pelajar-pelajar baru berkumpul di Dewan Harun Al-Rasyid. Dewan besar sekolah yang gah. Segah namanya. Nama seorang Khalifah yang agung. Laungan suara semakin kuat. Harun bingkas bangun. Menyarungkan kasut Pallas Jazz berwarna hitam. Kasut rasmi yang menjadi kemestian sepertimana yang tertera dalam lampiran surat tawaran kemasukan.
Minggu Ta'aruf bermula. Minggu suai-kenal yang menjadi igauan segelintir pelajar. Jadual yang ketat, disiplin yang juga sama ketat. Lebih ketat dari ikatan kasut Pallas Jazz hitamnya. Paling gerun, wajah-wajah senior yang garang dan bersuara lantang. Hari-hari herdik dan pekik menjadi rutin dan makanan 'ruji' pelajar. Ada juga yang tidak tahan, lantas mengemas barang lalu pulang. Bendera putih sudah berkibar sebelum berjuang.
Harun masih lagi kental, baginya semua itu hanya halangan yang 'secubit'. Dormitori yang didudukinya menempatkan dirinya berserta 3 orang lagi pelajar baru lain, dan sepuluh orang senior berlainan tingkatan. Kesukaran dan gigitan 'emosi' merapatkan hubungan sesama rakan. Yang renggang, jadi rapat akhirnya. Harun mengikut petua orang tua-tua, "masuk kandang kambing mengembek..."
Akhirnya, mimpi ngerinya bermula. Adegan buli memang tak mungkin dielak. Dia turutkan saja. Bagi sesetengah orang, menjadi 'pak turut' umpama tindakan bacul. Baginya, semua yang berlaku pasti ada hikmah. Dia yakin, kata-kata "sabar itu separuh daripada iman" bukan sekadar sesuatu yang direka-reka. Tuhan pasti ada rancangan tersendiri untuk hamba-Nya. Dia pasrah.
Saban hari dia dan rakan-rakan terpaksa mencuci baju-baju kotor senior. Mengambilkan makanan dari dewan makan dan dibawa pulang ke dorm. Tapi dia tidak pernah mengeluh. Tumbuk terajang bukan sesuatu yang asing di dorm Harun dan rakan-rakan. Siapa yang tidak mengikut, buruk padahnya.
Ada seorang senior di dormnya yang menjadi mimpi ngeri Harun dan rakan-rakan. Megat. Siapa yang tak kenal. Nama yang menjadi igauan Harun dan rakan-rakan. Bukan hanya mereka, malah guru-guru juga menjadi mangsa penangan Megat jika silap langkah. Pernah seorang Ustazah hampir ditumbuk gara-gara menegurnya di kelas. Kalau dalam filem Azura, dia dan geng-gengnya umpama geng Gagak Hitam. Entah berapa ramai rakan-rakan Harun yang menerima nasib buruk kerana ingkar. Pernah seorang rakannya terperosok masuk ke dalam almari kerana enggan menyeterikakan uniform sekolahnya. Harun melihat kejadian tanpa berkelip mata.
Megat umpama watak Kasyah dalam 'Lagenda Budak Setan'; novel setebal Kamus Dewan nukilan Ahadiat Akashah. Bukan pada romantiknya, tapi keSETANannya.
Megat tua 3 tahun daripada Harun. Meskipun baru tingkatan 4, 'populariti' kedajalan Megat mengatasi senior-senior mereka di tingkatan 5. Tiada siapa yang berani mencabar kejantanan tak bertempat si Megat. Silap cabar, nahas!
Mimpi ngeri itu berlanjutan berbulan-bulan lamanya. Walau dibuli saban hari, kesabarannya masih teguh. Hari-harinya dipenuhi dengan doa dan pasrah, semoga 'badai akan berlalu'.
Pada suatu hari, sekolah menganjurkan Hari Terbuka. Ibu-bapa dijemput datang menziarah anak-anak masing-masing sambil menerima laporan kemajuan akademik. Mengikut tradisi, bila ada hari keramaian begini, pasti ada tapak bazaar yang menjual pelbagai jenis makanan. Memang suasana yang menyeronokkan!
Harun menemui abah dan ibunya setelah sekian lama tidak berjumpa. Sejak mendaftar masuk ke sekolah tersebut, hanya 2 atau 3 kali dia pulang ke kampung. Apa boleh buat, keluarga Harun bukan keluarga berada. Bila ada duit lebih, dia balik, bila duit 'jajan' hanya cukup-cukup makan, dia duduk saja di asrama. Mengulangkaji bersama-sama kawan-kawan yang senasib.
Keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya tidaklah terlalu cemerlang namun, masih dalam kedudukan 10 terbaik. Masih lagi boleh dibanggakan. Cumanya, bila sudah masuk ke sekolah yang rata-rata pelajarnya bijak pandai, pasti banyak persaingan. Abah dan ibu faham. Dia juga faham. "Usaha lagi..!" dia memujuk hati sendiri.
Ibu membeli sebungkus karipap lalu diberikan kepada Harun. "Nah, ambil ni. Kongsi dengan kawan-kawan sebilik." Diambilnya bungkusan itu lalu dibawa ke dormitori. Sesampainya di bilik, tiada sesiapa di sana. Bilik yang sarat dengan 7 katil dua tingkat dan 14 buah almari itu dirasakan sunyi. Pastinya masing-masing sedang sibuk berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing. Sambil matanya meliar ke sana ke mari, di satu sudut dia terlihat kelibat sosok seniornya Megat, sedang asyik mendengar lagu dengan 'headphone' terlekat kemas di lubang telinga. Satu kes 'jenayah' dilakukan di siang bolong; menyeludup masuk 'walkman' ke dalam kawasan sekolah. Asap berkepul-kepul juga kelihatan dari puntung rokok dijari. Kes jenayah kedua yang dilakukan Megat. Kehadiran Harun mula disedari, namun sedikit pun tidak diambil pusing.
Hairan juga Harun. Dia terfikir sendiri, entah kenapa agaknyanya Megat tidak bersama-sama keluarganya. Tiada yang datang menziarah kah? Dia tidak mahu menjaga tepi kain orang. Mengenangkan 'amanah' ibunya, dia bergegas masuk 'menghadap' baginda Megat. Bungkusan karipap dihulurkan.
"Bang, ni mak saya kasi. Makanlah." Harun meletakkan bungkusan kuih tersebut lalu beredar. Selang beberapa tapak, Megat berpaling lalu memanggilnya perlahan. "Budak, sini kejap!" Harun menurut. Bimbang pipinya dihinggap penampar.
"Err...ya bang?" Harun terketar-ketar 'menghadap' baginda Megat.
"Terima kasih." ucap Megat pendek, namun bermakna. Harun sedikit tergamam. Pertama kali dia mendengar ucapan sopan dari kotak suara seorang ketua penyangak seperti Megat.
"Sama-sama, bang." Harun menjawab ringkas sambil mengukir senyum. Megat juga sama-sama senyum.
Senyap. Terasa janggal, Harun cuba memulakan perbualan.
"Abang Megat tak jumpa keluarga ke?" tanya Harun.
"Tak." Ringkas jawapan Megat.
"Kenapa?" Soal Harun lagi, seolah-olah seorang budak yang tidak makan saman.
Diam."Abah aku dah meninggal. Mak aku dah uzur kat kampung. Adik beradik aku yang lain semua dah tak ambil kisah pada aku lagi." jawapan yang panjang, namun cukup untuk buat Harun memahami keadaan seorang manusia bernama Megat. Segala-galanya mula jelas.
"Maaf, bang." Harun meminta maaf kerana merasa dirinya bersalah.
"Tak apa. Kau orang pertama yang bertanya." jawab Megat. "Terima kasih." sambung Megat lagi.
Harun tersenyum, lalu meminta diri. Sebelum berlalu, Megat sempat memberi 'titah' yang cukup bermakna.
"Budak, mulai hari ni, aku dah tak buli kau lagi dah. Kalau ada orang kacau ke, nak buli kau ke, kau cakap aje nama aku. OK!"
Harun sedikit terpana, kemudian terukir senyuman sampai ke telinga. Hari itu dia sudah berjaya memperoleh satu 'polisi insuran' percuma paling berharga.
Semuanya gara-gara sebungkus karipap pemberian ibunya. Ternyata janji Tuhan itu pasti. Kesabaran itu besar rahmatnya. Bagi mereka yang yakin pada kuasa-Nya dan percaya. Siapa sangka sebungkus karipap itu juga telah mengajarnya supaya jangan menilai seseorang dari rupanya.
"Terima kasih, Allah...Kau Maha Kuasa atas segala-galanya yang di langit dan di bumi dan segenap alam semesta."
Senyum terukir lagi.
:)
ReplyDeletesenanye dye pun jiwa romantik cam kasyah gak tu.. huhuhuhuu..
ReplyDelete=)
ReplyDeletebaik lah,,slps ini saya akan belajar masak karipap!!
ReplyDeleteyeahhhh!!
sumi: :) gak
ReplyDeleteishiko: setiap buku ada kulit yang berbeza, dan isi yang tak sama... :)
ReplyDeletealien: :D gak... hoho
ReplyDeletesukeri: =)
ReplyDeletecitahruddin: taruk inti sardin...OK
ReplyDeleteerr...karipap kira 'masak' ke?
agagagagagagagga :D
kira masak lh tok..
ReplyDeletekalu tak nak pakai perkataan menda ?
'Goreng'?
ReplyDeletekan joned kan, joned kan kan kan??
agagagaggagagagagaaa