Petikan dari KOSMO! bertarikh 23 Feb 2010
KETIKA ramai kanak-kanak lain sebaya dengannya mungkin sedang sibuk bermain permainan video atau perisian komputer di dalam rumah, ataupun menghabiskan waktu berkejar-kejaran di padang, si cilik ini sudah ada aktiviti eksklusifnya tersendiri.
Bertemankan gajet yang bersaiz dan seberat kira-kira satu per 20 daripada statistik tubuhnya, pandangan mata Danial Fitri Md. Yusoff Othman, 7, sudah menjangkau ke sudut yang paling seni dan mungkin sering diabai kanak-kanak biasa.
Minat mendalam yang ditunjukkan Danial itulah yang membawaKosmo! ke Galeri Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Perasaan asyik dan kagum mengisi ruang pameran fotografi itu tatkala menikmati 30 persembahan foto hasil kreativiti Danial dan gajetnya, kamera Nikon D100.
Dalam pameran bertema Bicara Alam itu, judul-judul bagi karya Daniel begitu unik. Ada yang diberi nama Hantu dan Gajah, Burung di Atas Elektrik, Burung Diri Jauh, Rumah Terbakar dan Monyet Menung. Lebih istimewa, semua judul itu adalah ciptaan murid darjah satu itu sendiri.
"Gambar yang paling saya suka ialah Gajah dan Hantu. Yang ini gajah dan yang ini hantu," kata Danial kepada penulis sambil menunjukkan rakaman bayang manusia dan bongkah batu.
Ternyata si kecil dengan ketinggian 104 sentimeter itu bukan sahaja memiliki bakat mengambil gambar tetapi juga memiliki pandangan luar biasa terhadap apa yang diambilnya.
Teruja dengan kunjungan Kosmo!, Danial berlari mendapatkan kameranya dan menunjukkan aksi-aksinya mengambil gambar. Tangan dan jari-jemari Danial yang kecil tidak menghalangnya untuk mengangkat dan mengendalikan kamera itu laksana seorang jurugambar berpengalaman.
Walaupun lagak dan gayanya mengambil gambar belum mirip jurugambar profesional, namun hasil yang terakam daripada petikan butang kamera itu cukup mengagumkan. Secara tidak langsung ia mencermin peribadi Danial yang gemar memerhati dan mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam.
Berkenaan pameran tersebut, Danial mengatakan dia senang apabila melihat begitu ramai orang yang berkunjung untuk melihat hasil fotonya.
"Tapi kenapa yang datang semuanya orang dewasa, bukan kanak-kanak seperti saya?" Tanya Danial yang mengundang rasa lucu dan senyuman di bibir yang mendengarnya.
Daniel memberitahu, dia menunggu peluang untuk mengunjungi kawasan berdekatan tasik kerana menurutnya di situ terdapat banyak ikan dan burung. Pemandangan di tasik juga cantik, katanya.
----------------------------------------
Sejujurnya aku cemburu. Namun, Tuhan itu Maha Kaya. Ada makhluk-Nya yang dilahirkan berbakat, ada pula yang 'diadun' sempurna menjadi hebat. Bila agaknya giliran aku tiba?
Yang pasti, usaha aku tak putus-putus. Moga dipermudahkan-Nya. Amin.